70 % pelanggan AKPK berjaya lunas hutang

Categories

Artikel dari Utusan Online11 April 2015

AZADDIN NGAH TASIR (duduk, kiri) bersama Ahmad Zaini Othman (duduk, kanan) menandatangani dokumen sambil disaksikan Mohd. Hanif Sher Mohamed (belakang, kiri) dan Abdul Halim Ali dalam majlis MoU antara MBSB dengan AKPK di Kuala Lumpur, kelmarin.

 

KUALA LUMPUR 10 April - Lebih 70 peratus atau 225,071 daripada 321,530 pelanggan yang mendapatkan khidmat pengurusan kewangan dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) sejak penubuhannya sehingga Februari lalu berjaya mendisiplinkan diri apabila berjaya melunaskan hutang-hutang yang tertunggak.

 

Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Azaddin Ngah Tasir ber­kata, peningkatan kesedaran masyarakat berhubung masalah pengurusan kewangan antara penyumbang utama kepada jumlah peratusan yang tinggi dan membanggakan itu.

 

Sebelum ini katanya, ma­sya­rakat hanya akan mengambil ini­­siatif mendapatkan khidmat disediakan apabila tiada jalan penyelesaian untuk melunaskan hutang, namun kini, mereka lebih menitikberatkan pendedahan dan maklumat berhubung kaedah pengurusan kewangan secara berhemah dan teratur.

 

“Masyarakat kini berdepan de­ngan pelbagai cabaran terutamanya kos sara hidup yang semakin meningkat, namun mereka dilihat lebih cenderung untuk mengambil langkah awal dengan mendedahkan diri kepada kaedah pengurusan baik dan teratur,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

 

Beliau berkata demikian selepas menandatangani memorandum per­se­fahaman (MoU) dengan Malaysia Building Society Bhd. (MBSB) yang bertujuan memberi pendedahan kepada pelanggan MBSB mengenai khidmat ditawarkan oleh agensi pengurusan kewangan tersebut.

 

Yang turut hadir Pengerusi AKPK, Datuk Mohd. Hanif Sher Mohamed; Pengerusi MBSB, Tan Sri Abdul Halim Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif MBSB, Datuk Ahmad Zaini Othman.

 

Dalam pada itu, Azaddin menafikan tanggapan segelintir ma­syarakat bahawa mereka yang mendapatkan khidmat AKPK adalah terdiri daripada golongan yang muflis.

 

Sebaliknya kata beliau, pelanggan AKPK adalah mereka yang terdiri daripada golongan yang mempunyai masalah dalam menguruskan kewangan dan juga pel- anggan yang menemui jalan buntu, namun masih boleh diselamatkan.

 

“Kita sentiasa mencari peluang dalam memberi pendedahan kepada masyarakat kepentingan menguruskan wang dengan baik dan tidak terikut-ikut trend semasa terutama berbelanja berlebihan kerana itu merupakan penyumbang utama masalah kewangan di negara ini.

 

“Malah, sekiranya ada masalah, orang ramai boleh terus mendapatkan khidmat AKPK dan dinasihatkan supaya tidak mendapatkan kaunseling daripada pusat-pusat khidmat kewangan yang tidak bertauliah bagi mengelak mereka diperdaya oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.