23,484 golongan belia muflis

Categories

Aritkel daripada Utusan Malaysia.

 

KUALA LUMPUR 25 Jun – Pengurusan kewangan yang lemah, tidak dapat mengawal penggunaan kad kredit dan kegagalan membayar pelbagai pinjaman menjadi punca ramai golongan belia diisytiharkan muflis sebelum berumur 35 tahun.

 

 

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, statistik sejak tahun 2010 hingga April lalu menunjukkan daripada 107,000 individu yang diisytihar muflis, 23,484 daripadanya adalah golongan belia yang berumur antara 25 hingga 34 tahun.

Beliau berkata, seramai 1,469 belia di bawah umur 25 tahun turut muflis manakala individu yang berumur antara 35 hingga 44 tahun pula merupakan golongan tertinggi yang diisytiharkan ban­krap iaitu sebanyak 37,888 orang daripada jumlah keseluruhan.

 

 

“Mengikut statistik, individu berumur antara 45 hingga 54 tahun yang diisytihar muflis adalah sebanyak 29,952 orang manakala seramai 13,490 orang adalah yang berumur 54 tahun ke atas,” katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang ingin mengetahui statistik terkini rakyat Malaysia yang bankrap di Dewan Negara hari ini.

 

 

Menurut Ahmad, kerajaan sangat peka dengan kea­daan ter­sebut, justeru Bank Negara telah mengambil langkah mendidik masyarakat melalui kerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk mengintegrasikan pendidikan kewangan ke dalam mata pelajaran di sekolah.

 

 

Selain itu, katanya, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kre­dit (AKPK) turut memainkan pe­ranan di 52 institusi pengajian tinggi dan 30 politeknik seluruh negara bagi menyampaikan pendidikan kewangan kepada setiap pelajar.

 

 

Sementara itu, Senator Koh Chin Han yang membangkitkan isu berkenaan ketika membahaskan usul Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) berkata, langkah penyelesaian masalah itu perlu disegerakan memandangkan data Jabatan Insolvensi menunjukkan pada April lalu, sebanyak 268,228 kes muflis masih belum dilepaskan.

 

 

“Data yang saya ada menunjukkan sebanyak 27,700 belia ber­umur antara 25 hingga 34 tahun telah diisytihar muflis, jumlah ini sangat merisaukan memandangkan sebahagian besar rakyat Malaysia adalah belia.

 

 

“Ini adalah trend yang tidak sihat terutama melihat peranan golongan belia kita dalam membangunkan negara pada masa depan,” katanya.