Lebih 107,000 diisytihar bankrap

Categories

Artikel daripada Kosmo!

 

KUALA LUMPUR – Lebih 107,000 individu diisytihar bankrap sejak 2010 hingga April lepas, persidangan Dewan Negara diberitahu semalam.

 

 

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, daripada jumlah itu individu berusia 35 hingga 44 tahun merupakan golongan tertinggi yang diisytiharkan bankrap iaitu seramai 37,888 orang.

 

 

“Sementara itu individu di bawah usia 45 hingga 54 tahun sebanyak 29,952 orang, 25 hingga 34 tahun (23,484), 55 dan ke atas (13,490), manakala di bawah 25 tahun seramai 1,469 orang,” katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang ingin tahu mengenai jumlah individu diisytiharkan bankrap.

 

 

Ahmad berkata, antara punca utama yang menyebabkan kes bankrap termasuk gagal menjelaskan bayaran sewa beli kenderaan, pinjaman perumahan, peribadi serta kad kredit, pinjaman perniagaan serta penjamin sosial.

 

 

Katanya, bagi membendung tahap hutang dalam kalangan golongan muda, kerajaan antaranya telah mengambil inisiatif melalaui penyampaian pendidikan kewangan secara menyeluruh di peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi.

 

 

Ahmad berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) telah bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk mengintegrasikan pendidikan kewangan ke dalam mata pelajaran teras bagi kurikulum baharu sekolah.

 

 

Menurut beliau, BNM turut mensyaratkan institusi kewangan memberi pembiayaan secara bertanggungjawab selaras dengan kemampuan peminjam untuk membayar balik pinjaman tanpa dibelenggu beban hutang yang melampau sepanjang tempoh pembiayaan.

 

 

Katanya, selain itu BNM juga telah mengeluarkan garis panduan kad kredit sebagai langkah untuk memastikan tahap pengeluaran dan penggunaannya dalam kalangan pengguna adalah secara berhemat. -Bernama