Lebih 100,000 Peminjam Bermasalah Berjaya Bayar Semula Pinjaman

Categories

KUANTAN 13 Dis. – Kira-kira 75 peratus daripada lebih 140,000 individu yang mengikuti Program Pengurusan Kredit (PPK) kelolaan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) berjaya melakukan pembayaran semula pinjaman mereka secara konsisten dan teratur.

Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Azaddin Ngah Tasir berkata, bagaimanapun 25 peratus lagi individu yang menyertai program pendidikan kewangan itu gagal berbuat demikian disebabkan oleh beberapa faktor tertentu.

“Antara faktornya disebabkan sikap segelintir individu yang menyer­tai PPK kerana mahu lari daripada bank yang menuntut bayaran hutang, selepas menyertai program ini pihak bank tidak lagi mengganggu mereka.

“Mental mereka tidak kuat dan hanya mahu lari daripada gangguan bank semata-mata, kita mahu membantu sebaik mungkin golongan ini bagi mengelakkan mereka terdedah kepada risiko diisytiharkan muflis pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis amal AKPK di Rumah Anak Yatim dan Fakir Miskin Permata Al-Insyirah di sini, semalam.

Sejak ditubuhkan pada 2006, AKPK semakin melebarkan sayapnya dan kini mempunyai 11 cawangan iaitu di Pulau Pinang, Johor, Kuala Lumpur, Sarawak, Sabah, Melaka, Perak, Pahang, Terengganu, Kedah dan Kelantan.

Azaddin Ngah berkata, daripada 140,000 yang menyertai PPK itu, 8,932 kes berjaya diselesaikan dengan jumlah keseluruhan bernilai RM373.9 juta.

“Majoriti golongan yang mengikuti PPK berusia 30 hingga 45 tahun dan 80 peratus berpendapatan bulanan RM4,000 ke bawah,” katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, sejak ditubuhkan sehingga kini le­bih 380,433 pelanggan mendapatkan perkhidmatan kaunseling AKPK.

“Dalam kebanyakan kes, faktor yang menyumbang kepada masalah hutang dan ketidakupayaan membayar balik pinjaman disebabkan oleh perancangan kewangan yang lemah, tidak mempunyai penge­tahuan membuat perancangan kewangan dan tidak hidup mengikut kemampuan kerana tahap disiplin kewangan yang kurang.

“Terdapat juga peminjam yang bermasalah disebabkan oleh faktor luar jangkaan seperti masalah kesihatan, kematian pencari nafkah, kehilangan pekerjaan dan kegagalan perniagaan,” katanya.