PTPTN, AKPK jalin kerjasama bantu 662,000 peminjam tegar

Categories

KUALA LUMPUR - Sebanyak 662,000 peminjam tegar Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang mempunyai masalah keberhutangan yang serius boleh mendapatkan nasihat kaunselor Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk membantu menguruskan kewangan dan hutang mereka dengan lebih baik.

Pengerusi PTPTN, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, Program Pengurusan Kredit (PPK) AKPK boleh membantu menstrukturkan semula pembiayaan kepada ansuran bulanan berdasarkan kemampuan peminjam.

“Program ini merupakan satu strategi yang dilaksanakan PTPTN dengan AKPK untuk memberi kemudahan kepada peminjam yang mempunyai hutang dengan bank serta institusi lain yang menyebabkan mereka mengabaikan pembayaran PTPTN,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara PTPTN dengan AKPK di Menara PTPTN, Jalan Yap Kwan Seng, di sini.

Katanya, sehingga 31 Disember lalu, PTPTN menerima sebanyak RM7.1 bilion iaitu 46.6 peratus melibatkan 1.2 juta peminjam. Jumlah keseluruhan yang sepatutnya dikutip, RM15.3 bilion. Sehingga tempoh itu seramai 662,000 peminjam yang tidak pernah membuat bayaran balik pembiayaan melibatkan tunggakan bayaran balik berjumlah, RM5.4 bilion.