SME Corp sasar latih 12,000 peserta TUBE

Categories

Categories: 

SHAH ALAM: SME Corp Malaysia menyasarkan 12,000 usahawan belia dilatih sehingga tahun 2020 melalui Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE).
Tahun ini, penganjuran TUBE akan diteruskan dengan edisi pertama TUBE Mega yang akan membabitkan penyertaan 1,000 belia Bumiputera, berbanding 500 peserta sebelum ini.

TUBE Mega tahun ini akan membabitkan penjenamaan bersama SME Corp Malaysia dan TERAJU, yang mana pelaksanaan program itu sejajar dengan salah satu inisiatif di bawah Transformasi Ekonomi Bumiputera (BETR) 2.0 yang dilaksanakan oleh TERAJU. Ia sekali gus menyokong inisiatif Transformasi Kesejahteraan Bumiputera (TKB) yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, baru-baru ini.
Program TUBE Mega dilancarkan secara rasmi oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Haji Maslan, di Dataran SACC Mall, di sini bersempena Minggu PKS 2017 peringkat Selangor.

Pembabitan Pelbagai Pihak
Program itu dilaksanakan oleh SME Corp dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pertanian Malaysia, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Unit Perancang Ekonomi (UPE) dan TERAJU di bawah JPM. Ia juga membabitkan Jabatan Latihan Khidmat Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia melalui UKM-CESMED, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Credit Guarantee Corporation (CGC), Kumpulan SME Bank, Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Jabatan Pembangunan Wanita.

Turut serta, Permodalan Usahawan Nasional Berhad, Telekom Malaysia Berhad, Persatuan Usahawan Generasi Muda Berjaya Malaysia, Majlis Belia Malaysia, 9TERAJU Malaysia Exclusive, Syarikat ABX Express Sdn Bhd dan Maybank sebagai Bank Rasmi Program TUBE Mega.

TUBE Mega tahun ini juga bakal menyaksikan penyertaan dua rakan strategik baharu iaitu Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang berfungsi di dalam menyumbang kepada kejayaan pelaksanaan program ini.

Pembabitan MDEC dilihat dapat meningkatkan kesedaran dan kemahiran perniagaan atas talian (online) oleh TUBErs sedia ada dan baharu. Melalui kerjasama itu juga, pemohon yang tidak terpilih untuk mengikuti Program TUBE akan diberi peluang untuk mengikuti Program E-Usahawan yang dikendalikan oleh MDEC. Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) selaku Agensi di bawah Bank Negara turut bekerjasama dengan SME Corp dalam memberikan bimbingan dan khidmat nasihat mengenai kaedah pengurusan kewangan yang cekap dan berkesan serta membantu usahawan supaya ''cekap wang'' di samping memantapkan pengurusan kewangan sedia ada.

- Berita Harian | 24 Mei 2017