AKPK selesaikan 13,794 kes kewangan

Categories

Categories: 

KUALA LUMPUR: Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menyelesaikan 13,794 kes pengurusan kredit berjumlah RM561 juta untuk tempoh empat bulan pertama tahun ini. Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Azaddin Ngah Tasir, berkata sebahagian besar masalah kewangan berkenaan iaitu 46.5 peratus berpunca daripada perancangan kewangan yang lemah, diikuti kos sara hidup tinggi (16.2 peratus) dan kegagalan perniagaan (15.1 peratus). Beliau berkata, punca lain masalah kewangan meruncing adalah perbelanjaan perubatan tinggi iaitu 10 peratus, hilang sumber pendapatan (9.6 peratus) dan lain-lain (2.6 peratus). "Sejak penubuhan AKPK hingga 31 Mei lalu, seramai 185,304 individu mendapatkan khidmat bantuan Program Pengurusan Kredit (PPK). "Seramai 580,109 individu yang mengalami masalah kewangan dalam tempoh sama diberi kaunseling. Peratusan permohonan PPK daripada kaunseling berkurang kepada 31.9 peratus berbanding 32.9 peratus tahun lalu," katanya. Beliau ditemui pada Majlis Berbuka Puasa bersama media dan sesi rakaman Raudhah Khas Raya Nasional FM 2017 bersama Datuk Kazim Elias di sini, malam ini. Yang turut hadir, Penolong Gabenor Bank Negara, Datuk Abu Hassan AlShari Yahaya; Pengarah Bahagian Program Radio RTM, Datuk Mustafa Kamal Abdul Razak dan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.

Sementara itu, AKPK turut melancarkan klip video 'Sahabat Raya' yang menyampaikan mesej persahabatan ikhlas dan saling membantu bagi menjamin masa depan cerah. Klip video versi penuh boleh dilayari bermula malam ini melalui media sosial Facebook AKPK, bit.ly/AKPKSahabatRaya dan YouTube. Azaddin berkata, video itu mengisahkan dua sahabat sejak kecil, Azam yang dihimpit kesusahan hidup sering dibantu sahabat baiknya, Hadli. Dua sahabat itu terpisah apabila Hadli berpindah ke ibu kota dan tidak sempat meraikan Aidilfitri bersama. Selepas 40 tahun, Azam mula mengecapi kehidupan senang dan bertekad mencari kawannya, Hadli. Malangnya, Hadli ditemui hidup miskin dan Azam berjanji membalas jasa serta menjaga sahabatnya itu.

Sumber : Berita Harian Online | 9 June 2017