Ukur baju di badan sendiri

Categories

Categories: 

SUMBER data Bank Negara Malaysia (BNM) pada 2015, 2016 dan 2017 menunjukkan terdapat trend permohonan pinjaman menjelang Hari Raya Aidilfitri. Antara jenis pinjaman dalam indikasi trend tersebut adalah pinjaman pembelian kereta, kad kredit dan pinjaman peribadi.

Sebanyak RM71,511.3 juta permohonan direkodkan bagi tahun 2015 dan RM66,078.2 juta pada 2016. Bagi 2017, pada bulan April sahaja permohonan pinjaman berjumlah RM22,520.4 juta direkodkan.

Walau bagaimanapun, permohonan yang diluluskan pada 2015 adalah sebanyak RM21,285.2 juta atau 30 peratus, sementara pada 2016, sebanyak RM28,519.5 juta atau 42 peratus diluluskan. Bagi April 2017, sebanyak 36 peratus permohonan bernilai RM8,208 juta diluluskan.

Berdasarkan analisis tersebut, Pengurus Besar Operasi Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Noor Fazleen Zakaria memberitahu, tidak dinafikan wujud individu yang boros berbelanja untuk menyambut hari raya.

Beliau berkata, segelintir masyarakat masih gagal merancang perbelanjaan dan lebih membimbangkan adalah belanja selepas raya.

“Berbelanja melebihi keperluan menyebabkan ramai boros dan apabila perbelanjaan melebihi bajet, maka wujud keinginan untuk membuat pinjaman.

“Paling membimbangkan adalah mereka yang membuat pinjaman untuk membeli kereta sempena Aidilfitri, sedangkan tidak ada keperluan untuk berbuat demikian.

“Orang ramai kena sedar, 25 peratus daripada kes muflis disebabkan sewa beli termasuk beli kereta,” katanya kepada Utusan Malaysia Sabtu.

Tambah Noor Fazleen lagi, orang ramai yang menerima gaji lebih awal dan mendapat pendahuluan seperti pinjaman daripada majikan perlu bijak berbelanja.

“Sebagai contoh, kakitangan kerajaan yang menerima gaji lebih awal daripada biasa perlu bijak mengurus kewangan mereka.

“Lebih selamat apabila mereka mengutamakan komitmen bulanan terlebih dahulu seperti bil utiliti, ansuran rumah serta kenderaan dan pinjaman lain.

“Jika terlebih berbelanja untuk persiapan raya, kelak lepas raya nanti, hendak beli makanan pun tak ada duit. Jadi, berhati-hati dan ukur baju di badan sendiri,” nasihatnya.

Sumber: Utusan Online | 17 Jun 2017