Peningkatan pembiayaan peribadi membimbangkan

Categories

KUALA LUMPUR 15 Nov. – Pe­ningkatan jumlah pembiayaan peribadi dalam kalangan rakyat disifatkan sebagai membimbangkan apatah lagi kebanyakan peminjam tidak mempu­nyai pendidikan dan kemahiran pengurusan kewangan yang betul.

Apa yang lebih merisaukan, pembiayaan peribadi yang me­rangkumi 4.47 peratus nisbah keseluruhan jumlah tunggakan pembiayaan adalah dua kali ganda lebih tinggi berbanding tunggakan kredit kad dalam suku ketiga tahun ini.

Malah, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, kebanyakan peminjam menjadikan pembiayaan peribadi sebagai ‘jalan keluar’ bagi membayar semula tunggakan pinjaman lain termasuk kredit kad.

Beliau berkata, tindakan itu bukanlah jalan penyelesaian terbaik bagi mengurangkan pinjaman sebaliknya hanya menggandakan lagi bebanan kewa­ngan peminjam.

“Institusi kewangan kadang­kala menawarkan pinjaman sedemikian disebabkan caj bagi pembiayaan peribadi adalah lebih rendah jika dibandingkan dengan kredit kad. Namun, jika diteliti ‘penyelesaian’ itu hanya menambahkan liabiliti seseorang individu.

“Tanpa disiplin kewangan yang betul, sesetengah peminjam bukan sahaja membayar ansuran bulanan pembiayaan peribadi, malah dalam masa sama menambah perbelanjaan kredit kad baharu,” katanya dalam majlis perasmian Simposium Celik Kewangan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) di sini hari ini.

Simposium bertemakan ‘Kelakuan Kewangan demi Kualiti Hayat’ yang julung kali diadakan itu dihadiri lebih 300 peserta daripada pelbagai sektor bagi menentukan hala tuju sesuatu polisi berkaitan pendidikan kewangan dalam usaha mendidik masyarakat mengurus kewangan dengan baik.

Yang turut hadir, Pengerusi AKPK, Anuar Mohd. Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Azaddin Ngah Tasir.

Selepas merasmikan simposium berkenaan, Wan Azizah yang juga Menteri Pemba­ngunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut melancarkan Laporan Kaji Selidik Kelakuan Kewangan Dalam Kalangan Pekerja, kajian pertama dijalankan agensi tersebut melibatkan lebih 3,500 pekerja seluruh negara.