Ramai terdesak nak pinjam duit

Categories

Categories: 

Kebanyakan mangsa yang terjerat dengan pinjaman tak wujud terdesak untuk mendapatkankan wang untuk tujuan tertentu dan ada yang mengalami masalah hutang serius. 

Timbalan Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Sosial dan Ekonomi, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Ruhani Mat Min berkata, dalam keadaan terdesak, mangsa tidak dapat berfikir panjang dan menerima tawaran 'pinjaman' tersebut walaupun dikenakan beberapa syarat. 

"Orang nak meminjam duit mesti ada sebab. Kebiasaan perkara tersebut (meminjam) memang merupakan satu keperluan mendesak pada waktu tersebut dan menyebabkan dia terpaksa mencari peminjam wang. RUHANI 

"Dalam keadaan ini, dia berada pada satu tahap pemikiran perlu dapatkan duit untuk selesaikan hutang atau masalah dia sehingga dia menerima apa juga syarat seperti membayar wang pendahulan kepada sindiket tersebut," katanya. 

Justeru, kata Ruhani, orang ramai mengalami masalah hutang dan kewangan serius seharusnya mendapatkan nasihat daripada pakar seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK). 

Menurutnya, ia langkah terbaik untuk mengelakkan orang ramai tertipu selain mendapatkan nasihat lebih tepat dengan situasi kewangan dihadapi. 

"Kebanyakan mangsa ini biasanya malu untuk berbincang dengan orang lain tentang masalah mereka hadapi. Jadi, pakar kaunseling atau AKPK ini adalah pihak tepat untuk mereka mengadu masalah," katanya.