Literasi wang rendah

Categories

Categories: 

Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM) bersama Jaringan Pendidikan Kewangan sedang merangka satu strategi literasi kewangan kebangsaan bertujuan untuk meningkatkan tahap literasi kewangan serta memupuk perilaku kewangan yang berhemat.

Gabenornya, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, pelbagai usaha sedang dilaksanakan bagi memupuk budaya pengurusan kewangan berhemat bermula dari usia muda.

Menurutnya, berdasarkan kajian bank pusat itu pada 2018 menunjukkan tahap literasi kewangan dalam kalangan rakyat masih rendah, merangkumi aspek pengetahuan dalam isu kewangan serta perilaku dan sikap berkenaan pengurusan kewangan.

“Antara kelemahan yang dikenal pasti termasuklah sebilangan besar rakyat tidak mampu menanggung perbelanjaan yang tidak dijangka, dengan 52 peratus mengakui menghadapi kesukaran untuk mengumpul wang RM1,000 jika berlaku kecemasan.

“Selain itu, hanya 24 peratus rakyat yakin dapat memenuhi obligasi kewangan sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga bulan sekiranya hilang punca pendapatan,” katanya pada majlis pelancaran Dana Rumah Mampu Milik, di sini.

Katanya, meskipun terdapat penambahbaikan jika dibandingkan dengan kajian yang sama pada 2015, secara keseluruhan masih banyak jurang keupayaan kewangan perlu ditangani.

“Bank Pusat juga ingin menekankan pentingnya mengamalkan budaya pengurusan kewangan berhemat kerana individu yang celik kewangan dapat membuat keputusan kewangan dengan lebih baik.

“Mereka lebih berhemat dalam merancang keperluan kewangan, bebas daripada belenggu hutang berlebihan dan boleh membuat persediaan secukupnya untuk kehidupan persaraan,” katanya.

Malah, Nor Shamsiah berkata, mereka juga mungkin berpeluang untuk mencapai kebebasan dalam beban kewangan.

Sementara itu, beliau berkata, untuk memiliki rumah ia membabitkan pelaburan atau komitmen kewangan yang besar.

Katanya, bakal pembeli rumah harus bertanggungjawab menilai tahap kemampuan mereka, bagi memenuhi komitmen kewangan yang berkaitan dengan kos memiliki rumah, termasuklah bayaran balik pinjaman dan perbelanjaan lain yang berkaitan.

“Usaha membantu golongan sasar membuat keputusan kewangan berhemat dalam memiliki rumah pertama ini, Agensi Kaunseling Dan Pengurusan Kredit (AKPK) menyediakan modul pendidikan kewangan dalam talian yang ringkas dan mudah diportal Rumahku.

“Usaha ini selaras dengan peranan AKPK untuk menyediakan perkhidmatan pendidikan kewangan, kaunseling dan nasihat kewangan.

“Ia turut menawarkan program pengurusan kredit kepada individu yang berdepan masalah membayar pinjaman,” katanya.