Usah buta dengan godaan pinjaman

Categories

Categories: 

Kuala Lumpur: Lambakan tawaran pinjaman peribadi di media sosial tidak seharusnya menjadikan masyarakat buta terhadap kesan pinjaman yang akhirnya menjerat diri kepada masalah yang lebih besar.

Pengurus Besar Bahagian Perkhidmatan Korporat Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Azman Hasim berkata, kemudahan pinjaman yang ditawarkan secara dalam talian mempunyai kelebihan, namun ia perlu dilakukan dengan bijak dan bukannya mengikut kehendak.

“Sebelum buat pinjaman sama ada daripada bank ataupun syarikat kewangan berlesen, pastikan dahulu jenis pinjaman yang ingin dipohon itu sama ada ia keperluan mendesak atau sekadar memenuhi kehendak yang boleh ditangguhkan sehingga waktu yang lebih sesuai.

“Jika ia keperluan, apakah pilihan terbaik yang ada dan soalan paling penting, mampukah bakal peminjam membayarnya menggunakan gaji yang ada tanpa membebankan mereka?” katanya.

Mengulas lanjut Azman berkata, keupayaan bakal peminjam untuk membayar semula pinjaman itu mestilah mengikut formula jumlah keseluruhan hutang tidak melebihi 40 peratus daripada pendapatan bulanan.

“Maksudnya, selepas membayar semua hutang, mereka perlu mempunyai baki 60 peratus pendapatan termasuk 10 peratus sebagai simpanan barulah mampu menjalani kehidupan selesa.

“Di AKPK, kita mengalu-alukan orang ramai mendapatkan perkhidmatan kaunseling dan pengurusan kredit secara percuma.

Katanya, agensi itu tidak melantik orang tengah membantu masyarakat mendapatkan khidmat nasihat pengurusan kewangan, sebaliknya semua urusan di pejabat atau dalam talian seperti laman web dan talian khidmat AKPK 03-26167766.