TEKUN Dan AKPK Jalin Kerjasama Bantu Usahawan Dalam Urusan Kredit

Categories

Categories: 

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga Nasional (TEKUN Nasional) hari ini menjalinkan kerjasama dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi memudahkan usahawan dalam pembayaran balik pinjaman mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Adam Abd Ghani berkata ini merupakan inisiatif TEKUN Nasional untuk melahirkan lebih ramai usahawan yang mahir dalam menguruskan kredit mereka sekaligus menambah daya saing mereka.

“Melalui kerjasama ini TEKUN dan AKPK dapat menyelesaikan masalah usahawan yang mempunyai kesulitan dalam membuat bayaran balik pembiayaan dengan membuat penjadualan semula bayaran balik melalui AKPK,” katanya ketika ditemui selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) merangkap Majlis Sambutan Aidilfitri TEKUN Nasional hari ini.

Beliau berkata penjadualan semula bayaran balik itu tertakluk kepada terma dan syarat yang telah ditetapkan oleh TEKUN Nasional.

Pada majlis MoU itu, AKPK diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Azaddin Ngah Tasir dengan disaksikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan, Datuk Wan Suraya Wan Mohd. Radzi, Pengerusi TEKUN, Datuk Seri Muhamad Supardi Md Noor dan Pengerusi AKPK, Anuar Mohd Hassan.

Sementara itu, dalam majlis yang sama TEKUN Nasional telah menyerahkan sumbangan sebanyak RM3,000 kepada Rumah Bakti Al-Kausar di samping pemberian duit raya kepada 30 penghuninya yang terdiri daripada anak-anak yatim dan golongan asnaf.