AKPK sedia khidmat pendidikan kewangan percuma

Categories

Categories: 

KUALA LUMPUR: Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menyediakan peluang kepada individu peminjam serta bakal peminjam untuk mempertingkat disiplin kewangan mereka melalui pendidikan kewangan, perkhidmatan kaunseling kewangan dan Program Pengurusan Kredit (PPK) secara percuma.

Pengurus Besarnya, Nor Fazleen Zakaria berkata, pendidikan kewangan oleh AKPK bertujuan memupuk amalan bijak wang dalam kalangan peminjam supaya dapat mengawal kewangan mereka dengan baik di samping mempromosikan budaya pembayaran balik teratur melalui penggunaan kredit yang cermat.

Katanya, melalui perkhidmatan terbabit, AKPK berhasrat membantu sektor isi rumah supaya menjadi lebih kukuh dan sistem perbankan pula menjadi lebih cekap serta berdaya maju dengan cara memudahkan usaha pembayaran balik hutang dan mengurangkan berlakunya kegagalan pembayaran balik yang berpunca daripada pengurusan kredit yang lemah.

“PPK oleh AKPK membantu peminjam menjadualkan dan menstrukturkan semula pinjaman rumah, pinjaman sewa beli dan pinjaman peribadi atau tunggakan baki kad kredit yang perlu dibayar kepada penyedia perkhidmatan kewangan di bawah pengawalan Bank Negara Malaysia (BNM).

“Kaunseling kewangan dan PPK adalah perkhidmatan yang disediakan oleh AKPK secara percuma kepada individu tanpa melalui mana-mana pihak ketiga,” katanya.