AKPK lantik dua ahli lembaga pengarah baharu

Categories

Categories: 

SHAH ALAM - Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) melantik dua ahli lembaga pengarah baharu iaitu Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab dan K Kanaga Shanta Kumar.

AKPK dalam satu kenyataan hari ini berkata, pelantikan itu menjadikan jumlah terkini ahli lembaga pengarahnya seramai tujuh orang.

Menurutnya, Amirudin ialah Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia dan juga ahli lembaga pengarah syarikat tersebut dan TPM IT Sdn Bhd, manakala Kanaga Shanta Kumar ialah rakan kongsi bersama Tetuan Lee Hishamuddin Allen & Gledhill.

"Amirudin mempunyai ijazah kedoktoran dalam Polisi dan Pengurusan Strategik ICT Negara dari University of Queensland dan pernah memegang jawatan pengarah dalam empat organisasi termasuk Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Pusat Maklumat Rangkaian Malaysia (MYNIC) serta seorang ahli lembaga pengarah eksekutif Digital Perak Corporation Holdings.

"Kanaga Shanta Kumar pula berkelulusan barrister-at-law dari Middle Temple, London dan pernah menjadi ahli majlis dan jawatankuasa persatuan dan institusi terkenal seperti Persatuan Pengamal Insolvensi Malaysia, Kumpulan Kerja Amalan Insolvensi Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia serta Institut Akauntan Malaysia, dan Jawatankuasa Kecil Amalan Insolvensi Suruhanjaya Syarikat Malaysia," katanya.

Menurutnya, dengan pelantikan baharu itu, AKPK yang merupakan anak syarikat milik penuh Bank Negara Malaysia pastinya akan lebih ke depan untuk meningkatkan lagi literasi kewangan semua rakyat Malaysia menerusi program pendidikan kewangan, kaunseling kewangan dan Program Pengurusan Hutang.