Modul AKPK dalam talian bantu masyarakat

Categories

Categories: 

SITUASI semasa melanda dunia dan negara akibat penularan wabak Covid-19 menyaksikan segelintir bergelut menguruskan kewangan sehingga memberi impak kepada kesejahteraan ekonomi diri dan keluarga.

Sehubungan itu, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menyediakan modul pembelajaran dalam talian bagi membantu masyarakat terkesan dengan pengurusan kewangan susulan pandemik Covid-19.

Ketua AKPK Melaka, Syaiful Anuar Bokhari berkata, dalam modul berkenaan banyak perkara berkaitan pengurusan kewangan boleh dilakukan untuk membantu mengatasi masalah dan tekanan bagi menyediakan diri menghadapi situasi genting terbabit.

Katanya, mereka boleh melayari modul pembelajaran dalam talian iaitu Mengharungi Cabaran di power.akpk.org.my yang boleh diakses pada bila-bila masa terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Dalam PKP ini, hanya sektor diklasifikasikan sebagai perkhidmatan penting (essentials) sahaja dibenarkan beroperasi dengan kadar minimum manakala sektor lain perlu menutup operasi mereka.

"Keadaan ini jelas memberi kesan kepada kebanyakan tenaga kerja. Ramai terjejas punca pendapatan akibat diberhentikan kerja atau terpaksa menerima potongan gaji dikenakan majikan bagi menampung kerugian dialami," katanya.

Beliau berkata, tinjauan dilakukan Jabatan Statistik Malaysia iaitu Survei Khas Kesan Covid–19 kepada Ekonomi dan Individu di Malaysia menunjukkan 52.6 peratus merasa sangat tertekan daripada segi impak kewangan.

Menurutnya, tinjauan itu menyatakan kesiapsiagaan simpanan kewangan berdasarkan sektor pekerjaan iaitu lebih kurang 71.4 peratus bekerja sendiri yang paling terkesan dengan simpanan kurang satu bulan.

Katanya, ia diikuti 82.7 peratus pekerja swasta dengan simpanan lebih kurang dua bulan dan pekerja syarikat berkaitan kerajaan (GLC) 78.9 peratus dan syarikat multinasional (MNC) 75.2 peratus mempunyai simpanan minimum empat bulan.

"Sementara itu, mereka yang bekerja sendiri sememangnya terjejas dengan pandemik ini dengan tinjauan ini menyatakan 46.6 peratus hilang sumber pendapatan dan kepada yang masih bekerja ada pendapatan berkurang sehingga 90 peratus.

"Orang ramai disarankan tidak panik kerana kerana ini masa terbaik untuk merancang pelan belanjawan yang sistematik sendirian atau bersama pasangan.

"Justeru, orang ramai perlu memastikan setiap perbelanjaan dirancang mengikut kemampuan aliran tunai semasa isi rumah dan elakkan pembaziran, selain tangguhkan kehendak ketika berdepan dengan krisis dan penuhilah selepas benar-benar bersedia," katanya.