50,000 orang minta bantuan AKPK

Categories

Categories: 

IRA-KIRA 50,000 individu menyerbu pejabat Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) di seluruh negara untuk mendapatkan perkhidmatan pengurusan hutang sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan, 10 Jun lalu.

Pengurus Besar Bahagian Operasinya Nor Fazleen Zakaria berkata, dianggarkan setiap hari kira-kira 800 pelanggan hadir di pejabat AKPK sepanjang tempoh pelaksanaan PKPP.

Katanya, ia disebabkan mereka terjejas berikutan pandemik Covid-19 dan memerlukan khidmat nasihat kewangan selain bantuan pengurusan untuk bebas daripada belenggu hutang.

"Semua pejabat AKPK memulakan operasi selepas pelaksanaan PKPP diumumkan kerajaan berkuat kuasa 10 Jun lalu," katanya pada sidang media selepas Program Bijak Wang 2.0 dan pelancaran BSN MyFirst, Duit for Baby di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu, Kuala Terengganu, hari ini.

Mengulas jumlah keseluruhan individu yang menggunakan khidmat AKPK sejak agensi itu ditubuhkan pada 2006, Nor Fazleen berkata, sehingga akhir Jun lalu, seramai 1.083 juta individu menghadiri sesi perkhidmatan kaunseling manakala 322,495 lagi memohon untuk menyertai Program Pengurusan Kredit.