PKS boleh hubungi AKPK jika permohonan bantuan bayar pinjaman ditolak

Categories

KUALA LUMPUR: Pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang permohonan bantuan pembayaran balik mereka ditolak atau kurang selesa dengan bantuan kewangan yang ditawarkan bank boleh menghubungi Agensi Kaunseling Dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk mendapatkan khidmat nasihat dalam menyusun pelan pembayaran balik yang sesuai.

PKS termasuk PKS mikro yang mempunyai pinjaman daripada pelbagai bank yang berdepan masalah pembayaran balik pinjaman susulan impak negatif COVID-19, juga boleh berjumpa AKPK untuk menguruskan hutang mereka dengan bantuan kewangan yang bersesuaian.

Wakil AKPK, Thomas Tan Koon Peng, berkata agensi di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) itu mempunyai pelbagai pilihan bantuan pembayaran balik pinjaman ditawarkan kepada PKS .

Beliau berkata, antara pilihan bantuan ialah mengurangkan bayaran ansuran bulanan, melanjutkan tempoh pembayaran balik pinjaman dan mungkin mengubah terma pembiayaan.

Katanya, sejak bulan lalu, AKPK diberi mandat oleh BNM untuk menawarkan penyelesaian khusus bagi membantu PKS, termasuk PKS mikro menerusi Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil (SPPK), yang mana agensi itu kini menjadi platform sehenti bagi individu dan PKS mendapatkan perkhidmatan penstrukturan hutang, pendidikan dan khidmat nasihat kewangan.

"Dengan SPPK, AKPK kini menawarkan perkhidmatan penstrukturan hutang dan khidmat nasihat yang lebih cekap dan holistik untuk PKS yang mempunyai pinjaman dengan beberapa bank," katanya.

Beliau berkata demikian pada webinar 'Bantuan Bayaran Balik Pinjaman untuk PKS: Masih Belum Terlambat' yang dihoskan oleh Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Adnan Zaylani Mohamad Zahid.

SPPK ditubuhkan oleh BNM pada 2003 untuk memberikan bantuan kepada PKS yang berdaya maju dalam semua sektor ekonomi yang menghadapi kesukaran dalam membayar balik hutang mereka dengan beberapa institusi kewangan.

Ia adalah platform yang membolehkan institusi kewangan dan PKS mencari jalan penyelesaian dalam pemulihan hutang secara damai dan kolektif tanpa menggunakan saluran undang-undang.

Sejak 2003, SPPK telah membantu lebih 1,200 PKS dengan menjadualkan dan menyusun semula pembiayaan perniagaan yang berjumlah RM1.7 bilion.

Tan berkata, PKS yang menghadapi masalah pembayaran balik pinjaman boleh menghubungi AKPK dengan mengisi borang secara dalam talian di laman web AKPK dan penasihat kewangan akan menghubungi PKS yang berkenaan.

Beliau berkata, perkhidmatan yang ditawarkan AKPK adalah secara percuma.

Sejak ditubuhkan pada 2006, AKPK telah memberikan perkhidmatan kaunseling kepada 1,096,448 individu, dengan sebanyak 342,815 peserta telah memohon masuk ke Program Pengurusan Kredit (PPK).