IKIM meterai MoU, MoA dengan UKM, AKPK

Categories

Categories: 

KUALA LUMPUR: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dan memorandum perjanjian (MoA) bersama dua rakan strategik sebagai langkah mengukuh sinergi dalam bidang keilmuan dan penyelidikan.

MoU itu dimeterai IKIM bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) manakala pemeteraian MoA pula membabitkan IKIM dan UKM bersama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Pengerusi IKIM, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, berkata penyatuan kepakaran dimiliki tiga institusi ini akan dimanfaatkan melalui penyelidikan bertaraf tinggi.

Beliau berkata, IKIM dan UKM akan mengukuhkan kerjasama dalam bidang keilmuan melalui pelbagai program penyelidikan, seminar, bengkel, perundingan, latihan dan penerbitan.

Katanya, kerjasama antara IKIM, UKM dan AKPK pula membabitkan pelaksanaan penyelidikan bertajuk Indeks Literasi Kewangan Islam Masyarakat Muslim di Malaysia bagi mengukur tahap kefahaman kewangan masyarakat Muslim di negara ini.

"Saya berkeyakinan penyatuan kepakaran yang dimiliki setiap pihak akan menghasilkan penyelidikan yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat," katanya selepas menyaksikan sesi pemeteraian MoU dan MoA yang dilakukan secara dalam talian.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah IKIM, Dr Mohd Zaidi Ismail.

Pada acara pemeteraian MoU dan MoA, IKIM diwakili Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Azizan Baharuddin, manakala UKM dan AKPK, masing-masing diwakili Naib Canselor, Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman dan Ketua Pegawai Eksekutif, Azaddin Ngah Tasir.

Ahmad Sarji berkata, IKIM kini turut menjalankan kerjasama dengan UKM menerusi Fakulti Ekonomi dan Pengurusannya melalui 'Kajian Indeks Literasi Kewangan Islam dalam Kalangan Masyarakat Muslim di Malaysia'.

"Semoga gerak langkah ini dapat menjadi pencetus kepada kerjasama antara IKIM dengan fakulti dan pusat lain di UKM selepas ini," katanya.