Jangan jadi hamba kad kredit

Categories

Categories: 

Johor Bahru: Pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan berpendapatan sederhana hingga profesional tidak terkecuali menjadi 'hamba kad kredit' apabila gagal menggunakannya secara berhemah.

Pengurus Agensi Kaunseling Pengurusan Kredit (AKPK) cawangan Johor Bahru, M Gunasegaran berkata, masalah timbul apabila pemilik kad kredit beranggapan ia adalah penyelamat ketika kehabisan wang tunai.

Beliau berkata, dalam situasi berkenaan, mereka akan bergantung sepenuhnya kepada kad kredit bagi kesemua pembelian (kemahuan) atau pembayaran bil utiliti, barangan keperluan, bercuti dan servis kenderaan.

Menurutnya, apabila hanya membayar kadar minimum lima peratus kepada jumlah tertunggak, bebanan pemilik kad kredit akan meningkat.

Katanya, jika ada jumlah tertunggak, ia akan berlipat ganda, misalnya jika terdapat jumlah tertunggak RM1,000 dan pemilik hanya membayar lima peratus, kebiasaannya akan mengambil masa dua tahun untuk selesai.

"Jika tidak mampu membayar penuh, bayar lebih dari lima peratus, mungkin 30 peratus dan jadikan pembayaran untuk menyelesaikan hutang kad kredit sebagai keutamaan.

"Pemilik kad kredit seharusnya bayar semua jumlah penggunaan sebelum tarikh matang bagi mengelakkan caj lewat.

"Ia adalah pinjaman yang mempunyai faedah tertinggi, 18 peratus setahun atau 1.5 peratus sebulan," katanya ketika sesi perkongsian cara penggunaan kad kredit di Kursus Induksi Perniagaan dan Pembangunan Jati Diri anjuran Persatuan Perniagaan India Johor (JIBA) di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi JIBA, P Siva Kumar.

Gunasegaran berkata, justeru, semua pemilik kad kredit seharusnya lebih bijak ketika menggunakannya dan mampu menilai antara keperluan dan kehendak.

"Rancang apa yang hendak dibeli terlebih dahulu dan elak pembaziran.

"Sekiranya pembelian dibuat menerusi kad kredit, semak kemampuan untuk membayar balik jumlah yang sudah digunakan.

"Malah elak pengeluaran pendahuluan tunai dari ATM kerana setiap kali pengeluaran tunai, komitmen pinjaman semakin bertambah dan dikenakan caj pengeluaran serta merta dan caj faedah harian," katanya.