1.2 juta ditolong

Categories

Categories: 

Kuala Lumpur: Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) umpama 'talian hayat' dalam membantu masalah pengurusan kewangan isi rumah Malaysia apabila berjaya membantu hampir 1.2 juta individu melalui khidmat nasihat kewangan (NK).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azaddin Ngah Tasir berkata, daripada jumlah terbabit, lebih daripada 330,000 mengambil bahagian dalam Program Pengurusan Kredit (PPK) iaitu pelan pembayaran balik yang sesuai dengan kemampuan individu melalui rundingan dengan penyedia perkhidmatan kewangan.

Katanya, hampir 34,000 daripada mereka yang mengambil bahagian dalam PPK berjaya melunaskan tunggakan yang berjumlah lebih RM1.5 bilion.

"Dari aspek pencegahan pula, hampir tujuh juta rakyat Malaysia sudah mendapat manfaat daripada pelbagai intervensi pendidikan kewangan AKPK sejak penubuhannya.

"Kini, selepas 15 tahun beroperasi sejak akhir 2020, AKPK diberi mandat baharu untuk membantu perniagaan khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

"Kini, dengan slogan AKPK untuk semua, AKPK menjadi pusat setempat bagi penyelesaian masalah pengurusan kewangan untuk isi rumah dan PKS termasuk perniagaan mikro di negara ini," katanya.

Menurutnya, bermula dengan penyediaan kemudahan PPK untuk pemilik tunggal diikuti dengan pemindahan fungsi Skim Penyelesaian Hutang Kecil (SPPK) dari Bank Negara Malaysia (BNM) ke AKPK.

Azaddin berkata, SPPK adalah jalan penyelesaian bagi PKS untuk mendapatkan bantuan pembayaran balik, lantas melengkapkan usaha industri perbankan dalam memberikan bantuan kepada PKS yang terjejas.

"Ini dilakukan dengan memudahkan perbincangan di antara PKS dan bank dalam menyusun semula pembayaran balik secara baik dan kolektif, tanpa menggunakan saluran undang-undang.

"Di samping itu, AKPK juga melancarkan Meja Bantuan Perusahaan Mikro yang memberi khidmat nasihat kewangan dan memudahkan urusan bantuan pembayaran balik oleh pihak bank kepada perusahaan mikro," katanya.

Beliau berkata, AKPK juga sudah menyusun rancangan tiga tahun untuk transformasi digital AKPK untuk terus bergerak ke hadapan.

"AKPK mempunyai kedudukan yang unik untuk membantu individu yang berada dalam keberhutangan serius agar dapat kembali membayar balik pinjaman mereka dengan selesa di samping memberikan mereka panduan dan pembelajaran yang berkesan untuk meningkatkan kesejahteraan kewangan.

"Apa yang akan diusahakan oleh AKPK selepas ini adalah jelas mandat untuk mewujudkan sektor isi rumah dan perniagaan berdaya tahan kewangan ke arah Malaysia yang lebih kukuh," katanya.