AKPK sedia khidmat nasihat percuma kepada PKS

Categories

Categories: 

KUALA LUMPUR: Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) komited untuk terus memberi khidmat nasihat kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terjejas dalam mendepani cabaran kewangan ketika era COVID-19 yang belum berakhir.

Menurut agensi di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) itu, ia menyediakan khidmat nasihat kewangan, pendidikan kewangan dan pengurusan hutang untuk semua individu dan PKS.

"Yang istimewanya adalah perkhidmatan ini percuma untuk semua individu dan PKS.

"Anda hanya perlu layari https://services.akpk.org.my/ untuk mendapatkan perkhidmatan AKPK," katanya dalam satu kenyataan.

AKPK menjelaskan, rata-rata semua yang terbabit dalam bidang perniagaan termasuk PKS menerima kesan dan tempias akibat daripada sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan perniagaan mengalami pengurangan pendapatan atau jualan.

Ia berkata, terdapat juga beberapa perniagaan berjaya menakluki cabaran yang datang bersama pandemik namun masih ramai juga yang terkesan.

"Ini kerana mereka bukan saja terpaksa melawan musuh perniagaan yang baharu ini, namun terpaksa juga menghadapi cabaran perniagaan lazim seperti persaingan, kurang pasaran, kualiti produk/servis, trend yang sentiasa berubah dan kos pinjaman perniagaan yang tinggi.

"Walaupun pelbagai bantuan kerajaan telah disalurkan kepada PKS seperti Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), Program Strategik Memperkasa Rakyat & Ekonomi (PEMERKASA) atau Pelan Pemulihan Negara (PPN), PKS tetap perlu bangkit semula dengan persiapan dari dalaman PKS sendiri.

"Persediaan kendiri ini mirip dengan program vaksinasi yang mana dari aspek perniagaan, jika diterapkan cadangan pelan imunisasi berikut, mampu mempersiapkan ketahanan diri PKS daripada serangan luar kerana telah tersedia menghasilkan sel imuniti dan antibodi yang diperlukan untuk menghadapi sebarang cabaran yang mendatang," katanya.

Mengenai kenyataan membabitkan pengurusan kewangan PKS, AKPK menjelaskan, laporan media berkenaan telah disalah tafsir dan diletakkan dalam konteks yang tidak sesuai.