Hari Tabungan Sedunia pupuk budaya menyimpan

Categories

Categories: 

KUALA LUMPUR: Konsep dan budaya amalan menabung membawa erti besar dengan 'Hari Tabungan Sedunia' yang disambut pada 31 Oktober setiap tahun.

'Hari Tabungan Sedunia' yang dikenali sebagai World Savings Day bertujuan menerapkan semangat menyimpan bagi semua lapisan masyarakat di seluruh pelosok dunia.

Tambahan, Malaysia masih dalam posisi berjuang mengharungi kemelut pandemik COVID-19, terutamanya dalam sektor kesihatan dan ekonomi.

Profesor di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan & Felo bersekutu Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Aisyah Abdul Rahman, berkata dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, masyarakat wajar lebih prihatin dan cakna terhadap pengurusan kewangan terutama golongan muda.

"Kebetulan, kita kini berada dalam bulan Oktober yang mana Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sedang melaksanakan Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2021 dengan tagline ibu bapa menjadi superhero kepada jantung hati mereka melalui amalan menabung untuk pendidikan," katanya.

Katanya, pandemik COVID-19 bukanlah penghalang untuk menabung, sebaliknya seharusnya menjadi penggalak menyemai semangat menabung yang boleh diistilahkan sebagai simpanan kecemasan (panic saving).

"Simpanan kecemasan mempunyai analogi yang hampir serupa dengan situasi pembelian panik yang berlaku pada permulaan pengisytiharan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 apabila rakyat berbondong-bondong membeli stok barangan pengguna," katanya.

Justeru, ketika keadaan ekonomi meruncing akibat COVID-19 ini, rakyat digalakkan meningkatkan jumlah simpanan kepada 20 hingga 30 peratus, bergantung kepada pendapatan bulanan individu.

Katanya, semakin tinggi komitmen perbelanjaan bulanan, semakin tinggi jumlah tabungan diperlukan untuk kelestarian kewangan seandainya tiba-tiba saja individu mengalami musibah seperti diberhentikan kerja atau perniagaan menjadi bankrap.

"Konsep simpanan kecemasan ini sesuai diamalkan oleh semua peringkat umur, terutamanya kepada generasi anak muda.

"Anak muda harus mempunyai pengurusan kewangan yang cekap. Pada umur 20-an mereka berkebarangkalian tinggi mula melangkah ke alam rumah tangga dan mempunyai cahaya mata tetapi pendapatan masih lagi rendah kerana baru menceburi bidang pekerjaan.

"Oleh itu pemilihan instrumen kewangan yang tepat amat penting bagi memperoleh manfaat simpanan optimum," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Pendidikan Kewangan Isi Rumah Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Nirmala M Supramaniam, berkata ketika pandemik COVID-19 melanda dunia, krisis kesihatan yang memberi kesan kepada ekonomi memaksa seseorang untuk menggunakan simpanan yang terbina selama ini.

Namun katanya, ramai juga yang belum sempat mempersiapkan diri dengan simpanan dan akhirnya menanggung akibatnya apabila wabak itu yang memberi kesan kepada diri dan simpanan.

"Ini menjadi pengajaran terbaik untuk kita mengenai kepentingan mempunyai simpanan. Buat mereka yang menggunakannya untuk meneruskan kelangsungan hidup, pasca pandemik adalah masa terbaik untuk kita bina semula tabung kecemasan.

"Penting untuk membuat simpanan tabung kecemasan kerana kita tidak tahu perkara yang bakal berlaku pada masa akan datang," katanya.

"Berdasarkan Kaji Selidik Keupayaan dan Rangkuman Kewangan Dari Sudut Permintaan 2018 yang dilaksanakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), menunjukkan lapan daripada 10 rakyat Malaysia mendakwa mereka menyimpan secara tetap, simpanan itu kebiasaannya dikeluarkan pada akhir bulan untuk menampung perbelanjaan harian," katanya.

"Kepentingan mempunyai dana yang mencukupi bagi menampung perbelanjaan bulanan termasuk bayaran pinjaman bagi tempoh sekitar tiga hingga enam bulan.

"Individu dinasihatkan agar membuat tabungan kecemasan secara berasingan dan tidak menggabungkannya bersama tabungan lain.

"Disiplinkan diri untuk membuat simpanan itu sehingga benar-benar cukup dan sebaiknya tabungan kecemasan ini berbentuk tunai," katanya.

Nirmala berkata, kepentingan simpanan bukan diukur berdasarkan kehendak atau keperluan, sebaliknya semua perlu menyimpan.

"Mulakan simpanan daripada sekarang kerana tiada istilah 'terlalu awal' ataupun 'terlambat' untuk berbuat demikian. Kita tidak boleh menjangkakan bila kecemasan akan berlaku.

"Kita harus tetapkan matlamat jangka masa panjang seperti anda mahu kedudukan kewangan yang bagaimana dalam tempoh lima, 10 atau 40 tahun akan datang serta tuliskan matlamat hidup dan meletakkannya di tempat yang membolehkan untuk diingatkan setiap masa," katanya.

Tingkatkan literasi kewangan demi masa hadapan

KUALA LUMPUR: Usaha meningkatkan literasi kewangan adalah perkara utama untuk memperkasakan individu dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan demi mempertingkatkan kesejahteraan kewangan seseorang.

Ketua Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Ahmad Dasuki Abdul Majid, berkata keputusan perlu dibuat setiap hari mengenai pengurusan kewangan ternyata boleh memberi kesan berkekalan kepada ketenangan juga kesejahteraan masa hadapan.

"Ini termasuklah ibu bapa untuk menyemai budaya dan tabiat menabung. Mulakanlah penabungan seawal satu hari usia anak walaupun dalam jumlah yang sedikit, terus istiqomah dan konsisten.

"Jadikan Simpan SSPN sebagai hadiah terindah dalam kehidupan anak demi masa depan yang terjamin," katanya.

Beliau berkata demikian sempena dengan Hari Tabungan Sedunia yang mana PTPTN turut menganjurkan Bulan Menabung Simpan SSPN 2021 sepanjang Oktober 2021.

Selaras dengan tema Hari Tabungan Sedunia tahun 2021 iaitu Hold on to your financial future jelas menunjukkan bahawa penabungan dan budaya jimat cermat adalah elemen penting dalam menentukan dan menjamin masa depan setiap individu.

Ahmad Dasuki berkata, antara pendekatan terbaik untuk membudayakan sikap menabung adalah dengan mengadakan pelbagai inovasi seperti pelaksanaan program dan aktiviti yang terarah kepada tabungan agar menjadi amalan dalam kehidupan rakyat negara ini.

Katanya, PTPTN sentiasa mencari alternatif atau usaha untuk memperkasakan budaya penabungan melalui pelbagai program dan kempen bagi menarik minat serta mendekatkan PTPTN di hati masyarakat.

"Hari Tabungan Sedunia disambut bertujuan untuk menggalakkan tabungan dan menyemai minat menabung dalam kalangan masyarakat seluruh dunia.

"Pada pandangan saya, hari bermakna ini perlu disambut sebagai simbolik betapa pentingnya tabungan, sekali gus memberi kesedaran kepada masyarakat kebaikan amalan menabung agar dijadikan budaya dalam kehidupan," katanya.