Rekod buruk bayar hutang, punca gagal dapat pinjaman bank

Categories

Categories: 

KUALA LUMPUR: Laporan daripada Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) didakwa menyebabkan ramai golongan muda sejak kebelakangan ini sukar mendapat kelulusan pinjaman bank, untuk membeli kereta atau rumah.

Kegagalan mendapat pinjaman terbabit, membuatkan golongan itu pantas menyalahkan agensi tertentu sebagai punca, sedangkan hakikatnya adalah kesilapan diri mereka yang gagal memahami fungsi CCRIS kepada institusi perbankan.

CCRIS adalah sistem berpusat dibangunkan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi mengumpul dan menyimpan semua data berkaitan kredit atau hutang, milik individu atau syarikat dengan bank serta institusi lain, sebelum ia menjadi rujukan semua institusi kewangan atau penyedia kredit di Malaysia.

Maklumat pinjaman Data CCRIS ini merangkumi maklumat pinjaman perumahan, kenderaan, peribadi, kad kredit, pendidikan, pinjaman yang dibuat bersama rakan atau keluarga. Sistem ini juga menyimpan maklumat permohonan pinjaman terbaru. 

Ketua Cawangan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) Kuala Lumpur, Muhamad Rapidi Mohd Darus, berkata setiap kali seseorang itu memohon pinjaman baharu, bank akan merujuk kepada maklumat CCRIS.

Beliau berkata, sekiranya pemohon gagal atau sering lewat membayar hutang sedia ada, institusi kewangan mempunyai pilihan menolak permohonan baharu kerana laporan CCRIS itu memberi gambaran individu itu tidak menguruskan pinjaman dengan baik atau berdepan kemelut kewangan. 

"Ada tiga komponen utama dalam laporan CCRIS iaitu kredit atau hutang belum jelas. Maklumat pada CCRIS merangkumi baki, had, kelakuan pembayaran dan status undang-undang jika ada. "Komponen kedua membabitkan akaun perhatian khas iaitu semua kemudahan kredit belum jelas dalam pengawasan rapi institusi kewangan, manakala ketiga ialah semua permohonan diluluskan kepada peminjam sepanjang 12 bulan lalu," katanya.

Muhamad Rapidi berkata, laporan CCRIS secara bercetak boleh diperoleh orang ramai menggunakan MyKad daripada kios yang disediakan BNM atau 11 cawangan AKPK di seluruh negara. Beliau berkata, AKPK sedia membantu orang ramai menguruskan kredit termasuk memberi penerangan mengenai laporan CCRIS dan khidmat nasihat. 

"AKPK membantu orang ramai dengan menyediakan perkhidmatan pendidikan kewangan, kaunseling dan khidmat penstrukturan pembayaran dengan kerjasama institusi kewangan yang terbabit.

"Golongan muda kini mula sedar kepentingan pengurusan kewangan yang baik. Mereka datang mendapat khidmat nasihat dan ingin mengetahui berapa kapasiti pinjaman yang mereka lakukan berdasarkan pendapatan dan komitmen mereka serta cara pembayaran disyorkan," katanya.

Katanya, AKPK juga turut menandatangani perjanjian dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk membantu pelajar yang mempunyai masalah pembayaran.

Maklumat mengenai Biro Kredit boleh diperoleh di http//creditbureu.bnm.gov.my.