AKPK selesai 10,197 kes babitkan RM416.7j

Categories

Categories: 

KUALA NERUS: Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menyelesaikan 10,197 kes menerusi Program Pengurusan Kredit (PPK) dengan jumlah keseluruhan bernilai RM416.7 juta dari 2007 hingga April lalu. 

Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Azaddin Ngah Tasir, berkata perancangan kewangan yang lemah menjadi punca utama masalah iaitu 51.5 peratus diikuti kegagalan dan kelembapan perniagaan 15.1 peratus. 

Katanya, perbelanjaan perubatan yang tinggi mencatatkan 11.8 peratus, kehilangan pekerjaan, diberhentikan kerja dan kehilangan pencarian nafkah utama (9.7 peratus) manakala kos sara hidup tinggi (8.7 peratus) serta lain-lain 3.2 peratus.

"Menerusi PPK, kita membantu peminjam memulakan bajet yang menjadi panduan dalam menunaikan pembayaran hutang dan perbelanjaan hidup sekali gus mengurangkan pinjaman tidak berbayar serta rampasan rumah. 

"Malah, sejak penubuhan 2007 hingga April lalu, lebih daripada 429,588 pelanggan mendapatkan perkhidmatan kaunseling AKPK di mana 150,706 daripada mereka dibantu melalui PPK," katanya. Beliau berkata pada Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan AKPK di Bangunan Canselori UniSZA, hari ini. 

Turut hadir Pengerusi AKPK, Datuk Mohd Haniff Sher Mohamed dan Pengarah Pusat Perhubungan Alumni, Industri dan Komuniti UniSZA, Prof Madya Dr Fakhrul Anwar Zainol.