KWSP Sediakan Bimbingan Celik Kewangan Percuma Kepada Ahli

Categories

Categories: 

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyediakan bimbingan celik kewangan percuma kepada ahli-ahlinya bagi membantu mereka membuat perancangan kewangan dan persaraan yang lebih baik, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Shahril Ridza Ridzuan.

Beliau berkata perkhidmatan percuma itu yang disediakan di semua cawangannya sudah pastinya akan dapat membantu ahli-ahli KWSP mengekalkan kehidupan mereka terutamanya semasa keadaan ekonomi tidak menentu ini.

"Kami juga akan mengadakan ceramah awam berkaitan dengan isu-isu pengurusan kewangan peribadi dan perancangan persaraan," katanya kepada pemberita selepas pelancaran modul pendidikan kewangan dan persaraan, "The Start of New Journey" di sini, hari ini.

KWSP secara bekerjasama dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit hari ini melancarkan modul tersebut yang berfungsi sebagai garis panduan dalam menjalankan ceramah awam berkaitan isu-isu tersebut.

Program ini juga membolehkan KWSP meluaskan kumpulan sasarannya dalam menangani kekurangan isu pendapatan persaraan.

Shahril berkata KWSP komited untuk menumpu memberi nasihat kepada ahli-ahlinya bukan hanya kepada mereka yang telah bersara tetapi juga mereka yang baru sahaja memulakan kerjaya.

Beliau mendedahkan kebanyakan rakyat Malaysia tidak menyedari berapa banyak modal atau simpanan yang mereka benar-benar perlukan bagi mengekalkan gaya hidup tertentu mereka.

"Mereka sepatutnya mula menyimpan lebih sekiranya mereka berada di bawah kategori yang berbelanja tinggi.

"Jika anda rasa gaya hidup anda memerlukan anda membelanjakan sekurang-kurangnya RM3,000 sebulan bagi tempoh 20 tahun akan datang, jadi anda seharusnya menyimpan anggaran kasar lebih RM600,000.

"Bagaimanapun, jika anda mempunyai simpanan RM228,000 pada usia 55 tahun, mencukupi bagi anda untuk mengeluarkan kira-kira RM1,000 sebulan sehingga anda berusia 75 tahun...sama ada ia mencukupi atau tidak akan bergantung kepada perbelanjaan anda," katanya.

-- BERNAMA