Perkhidmatan RAS diperluas menerusi telefon

Categories

Categories: 

KUALA LUMPUR: Khidmat Nasihat Persaraan (RAS) akan diperluaskan melalui telefon pada pertengahan tahun ini dalam usaha meningkatkan tahap celik kewangan dalam kalangan rakyat terutama ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Pada masa sama perkhidmatan itu juga akan diperluaskan ke 10 pejabat cawangan KWSP seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, berkata hingga 28 Februari lalu, seramai 27,553 ahli sudah mendapatkan khidmat nasihat dari 18 cawangan KWSP yang menawarkan perkhidmatan RAS, sejak perkhidmatan itu dilancarkan pada 2014. "Bagi memperluaskan perkhidmatan itu, ahli kini boleh mendapatkan khidmat nasihat mengenai perancangan kewangan melalui telefon. "Pada masa sama, disasarkan kira-kira 50 peratus cawangan KWSP seluruh negara akan mempunyai perkhidmatan RAS menjelang tahun 2021," katanya pada pelancaran Modul Pengurusan Kewangan 'Persaraan, Bermulanya Perjalanan Baharu', di sini, hari ini. Majlis disempurnakan Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Abdul Rasheed Abdul Ghaffour.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Azaddin Ngah Tasir. Menerusi perkhidmatan RAS, ahli akan menerima maklumat, pandangan serta nasihat berkaitan beberapa matlamat termasuk membantu ahli membuat keputusan sebelum sebarang pengeluaran simpanan KWSP dibuat; mengetahui pilihan cadangan bagi menguruskan simpanan persaraan serta menggalakkan ahli menambah simpanan secara berterusan.

INFO: * RAS ialah perkhidmatan yang diperkenalkan KWSP untuk tingkatkan kesedaran dan pengetahuan ahli mengenai perancangan kewangan dan persediaan persaraan.

--BH Online